Saturday, October 9, 2010

Ubahlah tujuan hidup anda! 7hb Oktober 2010

Ubahlah tujuan hidup anda! 7hb Oktober 2010

Ringkasan suhbah Maulana Syaikh Nazim’s

7 Oktober 2010

Ubahlah tujuan hidup anda!

A’uzubillah nirrajeem himinsh Setan

Bismillahir Rahman-nir Rahiim

Assalamu’alaikum wrh wbkt

  • Maulana menyambut ketibaan malam pertama Bulan Suci Zulkaedah, yang pertama dari tiga bulan Suci yang muncul berturutan, iaitu bulan Zulhijjah dan seterusnya bulan Muharram. Maulana berdoa untuk kehormatan, kemuliaan dan rahmat yang dianugerahkan kepada kita dalam bulan-bulan suci.
  • Maulana menyeru agar kamu semua bangkit dari tidurmu (kelalaian) dan mengambil harta /khazanah Spiritual dari suhbah yang diberi ini.
  • Bayangkanlah sebuah ukiran besar yang diperbuat dari ais diletakkan di bawah sinar matahari langsung. Setiap detik berlalu ianya akan mulai cair perlahan-lahan, dan setelah berjam-jam, ukiran ais tersebut akan sepenuhnya hilang/lenyap.
  • Maulana menggunakannya sebagai satu contoh bagi menjelaskan kehidupan kamu – dalam setiap saat kehidupan kamu, jam (dalam diri kamu) akan terus berdetik, tubuh kamu akan semakin lemah, hati kamu – diumpamakan seperti sebuah bateri, akan kehabisan tenaga, dan kamu akan menuju lebih dekat dengan kematian.
  • Maulana seterusnya menjelaskan bahawa setiap tahun, berjuta-juta orang yang sedang tidur, meninggal dunia dalam tidur, mereka tidak terbangun dari tidur mereka. Mengetahui hal seperti ini, bagaimanakah kamu boleh berasa yakin bahawa kamu akan bangun pada saat kamu tidur nanti?
  • Bahkan seorang Raja yang kuat dan gagah perkasa pun tidak dapat mengatakan dengan penuh keyakinan yang beliau dapat bangkit dari tidurnya. Ini kerana kematian boleh menyerang/datang dengan mendadak dan pada bila-bila masa sahaja. Dan oleh kerana kamu tidak mempunyai kepastian apakah kamu nanti dapat bangkit dari tidurmu, mengapa kamu tidak membuat persiapan untuk menghadapi kematian melihatkan bahawa hal itu boleh muncul bila-bila masa sahaja?
  • Rasulullah (saw) berkata, “Wahai Umar, biarkan kematian itu menjadi penasihat untuk kamu!” Yang bermaksud, biarkan keadaan sentiasa mengingati kematian selalu bersama mu dan membimbing kamu dalam kehidupan duniawi, kerana seseorang yang sentiasa mengingati kematian akan sentiasa membuat persiapan untuk kematian dan akan sering dalam ibadah, dan selalu akan mengelakkan dari berbuat dosa. Hadis ini tidak dikhususkan hanya untuk Sayyidina Umar (ra) sahaja, ianya ditujukan pada seluruh umat. Kematian harus dijadikan seperti satu amaran berterusan yang mengingatkan kamu tentang pertemuan kamu dengan Tuhan yang Maha Esa.
  • Wahai orang yang beriman… kematian mengintai kamu di setiap saat! Kematian mengikuti kamu, seperti bayang bayang yang mengekori kamu setiap masa! Dan ketika kamu telah diakhir /penghujung waktu yang telah ditetapkan, Kematian akan menyerang kamu tanpa dapat ditunda lagi.
  • Jadi, kamu harus mempersiapkan dirimu untuk bertemu dengan hari itu, waktu dimana kamu akan terpisah dengan tubuh fizikal mu. Jadikan kematian itu penasihat dan pemberi amaran buat kamu. Kematian boleh menyerang kaum muda maupun yang tua, orang yang kaya maupun yang miskin, Putera2 Raja atau si Fakir – maka berwaspadalah, dan bersedialah.
  • Nabi (saw) sering berdoa, “Jadikanlah hari terakhir hidup ku di muka bumi ini, hari yang terbaik bagi ku!” Mengapakah guru-guru agama tidak menerangkan dengan terperinci hadees ini? Mereka tidak mengajarkan tentang haqiqat kematian, dan mereka tidak membimbing pelajar mereka untuk memperbaiki diri hari demi hari, sehingga hari terakhir mereka, adalah yang terbaik dalam kehidupan duniawi mereka. Al-Quran mengajar kamu untuk mengingatkan satu sama lain, dan Maulana menerangkan yang apa yang di maksudkan ialah, kita harus saling ingat meningati tentang kematian! Allah berfirman, “Ingatkanlah hamba-hambaKu bahawa kematian pasti akan datang, ingatkan mereka bahawa mereka tidak akan hidup kekal abadi di dunia ini.”
  • Manusia hari ini hanya sibuk mengumpulkan harta duniawi. Bagaimanakah rumah baru atau kereta baru atau pakaian baru, dapat membantu kamu ketika Malaikat Maut datang mengundang kamu? Kamu seharusnya menyibukan dirimu meningkatkan kerohanian kamu sewaktu menanti kedatangan kematian. Anehnya, manusia sibuk meningkatkan keduniaan mereka. Sebahgiaan para isteri suka mendesak suami2 untuk membelikan pakaian2 baru dan barang2 kemas , dan mereka suka menghabiskan waktu dengan membeli-belah, mencuci mata, melihat-lihat itu dan ini dan berwisata.
  • Kamu tidak diciptakan untuk tujuan itu! Jangan memaksa suami ke arah keduniaan, para isteri tidak seharusnya menggalakkan si suami menghabiskan waktu dalam kegiatan2 yang tiada berguna dan yang tidak masuk akal, kerana niat syaitan adalah untuk mendorong manusia ke arah kehidupan yang sia2 dan tidak punya erti di sisi Allah.
  • Hari demi hari, tubuh fizikal (jasad) kamu bertambah lemah, dan kerohanian (Ruh) mesti bertambah kuat! Tubuh kamu sedang bersiap sedia untuk turun (ke kubur), maka Ruh kamu harus diperisiapkan untuk naik (ke tingkatan/Maqam yang lebih tinggi). Apabila kamu berusaha mengurangkan fokus/perhatian mu kepada mencari kenikmatan fizikal dan hiburan (kegiatan yang berdasarkan ego dan nafsu), kamu akan mempunyai lebih banyak waktu untuk memberi tumpuan kamu kepada peningkatan Kerohanian, dan menuju ke alam yang penuh cahaya.
  • Tubuh fizikal kamu terlalu berat untuk ‘terbang’, dan dengan mengenepikan keinginan2 nafsu dan ego, kamu akan bertambah ‘ringan’, sehingga kerohanian kamu dapat ‘melayang’. Tetapi jika hehidupan kamu tertumpu pada keperluan duniawi – makan minum, hiburan dan melayani nasfu shahwat – kamu akan berterusan berada dalam keadaan ‘berat’, dan kerohanian kamu tidak akan dapat meningkat. Kamu akan tetap berada dalam dunia kegelapan, dan dunia kamu akan bertambah gelap detik demi detik, sehingga kamu dapati dirimu telah tertelan ke dalam ‘lubang hitam’ atau ‘black hole’, di mana kamu akan terperangkap dan tidak akan dapat keluar/muncul lagi. Sebuah lubang hitam di angkasa lepas boleh menelan seribu bumi dalam sekelip mata, maka berwaspadalah dari terjatuh ke dalam lubang hitam tersebut.
  • Seorang Raja yang hebat dan termasyhur, Ibrahim ibn Adham (qs), satu hari pergi memburu rusa di hutan. Sedang dia mengekori mangsanya, dia terdengar suara dari surgawi di telinga kanannya, “Oh Ibrahim ibn Adham, apakah kamu menyangka yang kamu telah dicipta untuk melakukan ini, untuk berburu? Kamu memang suka memburu, kerana ego kamu menyukainya, tetapi adakah kamu terfikir apakah ini misi utama dalam hidup mu?” Di telinga kirinya, beliau terdengar bisikan, “Adakah kamu berfikir yang kamu telah diciptakan untuk permainan sia2 seperti yang di lakukan oleh orang2 jahil?”
  • Kamu mesti ambil pelajaran/teladan dari kisah ini. Ibrahim ibn Adham (qs) di tegur oleh Allah sewaktu mengejar seekor rusa, maka kamu semuanya yang sedang mengejar dunia, juga di beri teguran berikut, “Wahai manusia, adakah kamu fikir yang kamu telah diciptakan untuk kehidupan Dunia ini? Adakah kamu fikir yang kamu telah dicipta hanya untuk mengumpul harta duniawi?”
  • Ibrahim bin Adham (qs) terus menunggang kudanya dengan laju menuju istananya. Apabila beliau tiba di istana, beliau merayu kepada Tuhannya, “Ya Allah, aku meninggalkan segala-galanya (iaitu di sedekahkan seluruh kekayaan dunia), demi Engkau. Wahai Tuhanku, aku memohon pengampunanMu! Aku mengharapkan pengampunanMu dan aku kembali kepadaMu (iaitu ke jalan ketaatan kepada Allah), aku mengubahkan tujuan hidup ku, dari mencari dunia, kepada mencari Maula (iaitu mencari Allah)!”
  • Allah menanti ucapan demikian dari setiap hambaNya. Allah menanti pengistiharaan hambaNya, yang dia akan merubah tujuan hidupnya – dari hanya mencari dunia, kepada hanya untuk bersama Allah, sehingga hati hambaNya tidak berkeinginan, selain hanya Dia. Seru Tuhanmu dengan hati yang ikhlas, “Wahai Tuhanku, aku meninggalkan segala-galanya untukMu dan aku menghadapkan wajahku kepadaMu, wahai Tuhanku. Aku tidak mahu apa-apa, selainMu. Aku mahu merubah tujuan hidupku, dari dahulunya mahu bersama dunia, sehingga sekarang ini, aku hanya mahu bersamaMu, wahai Tuhanku!”
  • Yang di maksudkan mengubah tujuanmu, ialah, “Aku melakukan setiap amal hanya kerana Mu, wahai Tuhanku, bukan demi ego ku. Aku akan berusaha supaya seluruh perbuatan ku adalah hanya untuk Mu, wahai Tuhanku.” Tumpukan kasih sayang mu hanya kepada Allah, dan beramal hanya untuk mencari keredhaanNya.
  • Pada malam yang suci ini, Maulana berdoa agar mereka yang hadir dikurniakan pemahaman mengenai kepentingan menjunjung perintah2 terhormat-Nya dan perintah2 surgawi-Nya, untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Mereka yang tidak memahami, akan dihujan masalah dan kesulitan, yang tidak akan berakhir.
  • Kamu wajib memperbetulkan langkah mu, sehingga kamu hanya berjalan di jalan kebenaran, sidqin qadama. Allah mengundang kamu untuk datang kepada-Nya, untuk berada dekat kepada Nya, tetapi kamu hanya akan dapat mendekati-Nya dengan berjalan di atas jalan kebenaran dan kesucian.
  • Hanya langkah-langkah yang benar akan menuju kearah-Nya. Kamu harus berwaspada dan muhasabah diri dengan teliti, pastikan yang setiap langkah dan gerak mu berada di atas jalan yang benar, kerana kamu tidak akan dapat mendekati-Nya dengan perbuatan maksiat, kerana itu adalah langkah ke arah kekotoran. Apabila kamu melangkah dalam kekotoran, kamu akan di singkir dari sisiNya, seperti mana Iblis telah di singkir. Berusahalah untuk menjadi dari kalangan mereka yang sentiasa menyucikan diri , kerana kebersihan adalah satu kehormatan bagi seorang hamba.
  • Tinggalkan kekotoran, tinggalkan dunia mu!

Huraian

  • Apabila Maulana berdoa untuk tambahan kurnia dalam bulan-bulan Suci ini, Maulana sebenarnya memberitahu kita untuk meningkatkan ibadah untuk mendapatkan bahagian dari kurnia2 Ilahi yang melimpah-limpah dalam bulan2 ini kerana kurnia Allah adalah bagi mereka yang benar-benar berusaha dengan rajin/tekun, dibandingkan dengan mereka yang mengabaikan bulan2 yang penuh rahmat ini.
  • Ada Hadits yang menyebutkan bahawa sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah hari2 yang paling Suci dalam kalendar Islam, dan tidak ada ibadah yang dilakukan oleh seorang hamba Allah, yang lebih menyenangkan kepada Nya, melainkan ibadah yang dilakukan pada sepuluh hari pertama dalam Zulhijjah. Setiap hari berpuasa dalam sepuluh hari tersebut akan dibalas dengan pahala berpuasa setahun, dan ibadah malam (qiyamul lail) dalam setiap malam dari malam2 kesepuluh ini, akan di balas dengan pahala satu Lailatul Qadar.
  • Selain itu, dalam bulan Zulhijjah, kita melakukan ibadah Qurban, Haji dan Idul Akbar, diikuti dengan doa akhir tahun yang dilakukan pada hari akhir dalam bulan Zulhijjah.
  • Muharram juga mempunyai hari-hari khusus seperti hari pertama (doa tahun baru) dan hari kesepuluh (Hari Asyura). Jadi terdapat banyak ibadah khusus yang boleh dilakukan dalam beberapa bulan ini, oleh setiap orang yang beraspirasi untuk menghampiri Allah.
  • Rasulullah (saw) bersabda, “Manusia yang paling bijak di antara kamu adalah dia yang mempersiapkan dirinya untuk kematian.”
  • Anehnya, Maulana menyebutkan hal wanita dan kemewahan harta benda duniawi (zeenatal hayatul dunia) dalam perenggan yang sama. Mengapa? Rasulullah (saw) pernah bersabda dalam sebuah Hadits, “Yang terbaik dari hiasan duniawi, adalah seorang isteri yang solehah.” Maka sesiapa yang telah memiliki isteri yang solehah, dia telah mewarisi sebaik2 hiasan dunia ini, dia tidak perlu lagi untuk mengejar hiasan duniawi ini, dia dan isterinya dapat hidup dengan kana’ah dan zuhud.
  • Di sebaliknya, seorang isteri yang lalai akan meletari suaminya untuk mencari lebih dari kehidupan duniawi ini, maka suami demikian belum mendapatkan sebaik2 harta dunia (kerana dia tidak memiliki isteri soleh), dia akan tetap mencari bangkai dunia ini, atas desakan isterinya!
  • Lubang hitam menggambarkan suatu keadaan, di mana manusia di salut oleh lapisan demi lapisan dosanya dan kekufurannya, sehingga dia mati dalam keadaan tidak beriman dan manusia malang demikian tidak akan dapat mencapai keselamatan, buat selama-lamanya. Menurut ilmu sains, walau cahaya pun tidak dapat keluar dari lubang hitam di angkasa lepas, maka ini menggambarkan keadaan orang2 yg tenggelam di dalam kekafiran, kerana ia tidak akan dapat lepas dari azab yang kekal, penyesalan yang amat sangat dan dia akan putus asa dari rahmat Allah.
  • Tumpukan perhatian kita kepada mencari keredhaan Allah, jadikan itu matlamat hidup, dan tujuan kewujudan kita. Jangan hilang fokus, jangan berubah niat! Lakukan apa yang Ibrahim bin Adham lakukan, iaitu tinggalkan dunia yang penuh kekotoran, dan menuju ke hadrat Ilahi dengan mengambil jalan yang Suci yang menuju kepada-Nya. Kita tidak diciptakan untuk dunia ini! Allah telah menciptakan dunia ini untuk kita, Dia menciptakan kita semua, hanya untuk Dia.

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Aku mencipta jin dan manusia hanya supaya mereka menyembah-Ku. (51:56)

Maulana Syaikh Nazim mengajar setiap hari pada jam 1 pagi WIB, sila ke lelaman www.Saltanat.org untuk mengikuti pelajaran beliau. Maulana mengajar dalam Bahasa Inggeris, tetapi alih bahasa di siapkan dalam Bahasa Melayu/Indonesia. Salinan ringkasan terdapat di lelaman Naqshbandi Singapura, www.SufiHub.com.

No comments:

Post a Comment