Tuesday, October 5, 2010

Apakah nilaimu disisi Allah???

Apakah nilai mu, di sisi Allah? 4hb Oktober 2010

Ringkasan Suhbah Maulana Shaykh Nazim

4hb Oktober 2010

Apakah nilai mu, di sisi Allah?

  • Maulana menyeru agar kamu semua melarikan diri dari syaitan, kerana shaitan membawa kamu ke jalan kejahatan (yang akan mengakibatkan kamu terjerumus ke dalam neraka), sementara para Nabi dan Rasul mengundang manusia untuk meninggalkan jalan kejahatan dan menuju ke jalan kebaikan (yang akan membawa kamu ke Syurga).
  • Jadilah insan yang berharga di sisi Allah! Siapakah yang merupakan hamba yang berharga di sisi Allah? Mereka adalah orang-orang yang disambut oleh Malaikat pada Hari Qiamat kelak, kerana memang ada sekumpulan lain yang tidak akan di beri sambutan langsung pada hari tersebut.

هَـٰذَا فَوۡجٌ۬ مُّقۡتَحِمٌ۬ مَّعَكُمۡ‌ۖ لَا مَرۡحَبَۢا بِہِمۡ‌ۚ إِنَّہُمۡ صَالُواْ ٱلنَّارِ. قَالُواْ بَلۡ أَنتُمۡ لَا مَرۡحَبَۢا بِكُمۡ‌ۖ أَنتُمۡ قَدَّمۡتُمُوهُ لَنَا‌ۖ فَبِئۡسَ ٱلۡقَرَارُ

(Penjaga Neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir dan penderhaka itu): Ini ialah serombongan (orang-orang kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu. (Ketua-ketua itu berkata): Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran Neraka. Pengikut-pengikut mereka menjawab: Bahkan kamulah yang tidak perlu dialu-alukan, kerana kamulah yang membawa azab sengsara ini kepada kami, maka amatlah buruknya Neraka ini sebagai tempat penetapan. (38:59,60)

  • Bagaimana kamu boleh menjadi salah seorang dari mereka yang berharga di sisi Allah? Al-Qur’an adalah Lautan Ilmu yang sangat luas, yang bertujuan untuk membimbing manusia supaya mereka dapat menjadi makhluk yang berharga dalam pandangan Tuhannya. Orang yang membelakangkan Kitab Suci ini, akan menjadi manusia yang tiada nilai dalam pandangan Allah. Al-Quran itu diturunkan hanya untuk membimbing anak-anak Adam agar dapat membezakan antara mereka yang mempunyai nilai, dan mereka yang tidak punya nilai langsung di sisi Allah.

  • Kamu bebas untuk memilih, kumpulan mana yang kamu ingin dikumpulkan, pada Hari Pembangkitan kelak. Manusia zaman ini tidak menghiraukan nilai manusia, padahal para Nabi di utus untuk mengajar manusia supaya dapat membezakan diantara dua kelompok manusia tersebut.
  • Kamu harus mempelajari apa yang menjadikan seseorang hamba itu berharga atau tidak berharga, di sisi Allah. Sesuatu yang tidak berharga, akan dibuang ke tempat yang hina, seperti sampah dan najis. Demikian juga, manusia yang tidak berharga dalam pandangan Allah, akan ditempatkan di tempat-tempat yang penuh penghinaan dan tercela.
  • Sayyidina Adam (as) mempunyai dua anak lelaki – Habil (as) dan Qabil. Dalam Al-Quran (Surah Al-Maeda), Allah telah menjelaskan pada semua manusia, bagaimana dua adik-beradik ini memiliki nilai yang jauh berbeza.

وَٱتۡلُ عَلَيۡہِمۡ نَبَأَ ٱبۡنَىۡ ءَادَمَ بِٱلۡحَقِّ إِذۡ قَرَّبَا قُرۡبَانً۬ا فَتُقُبِّلَ مِنۡ أَحَدِهِمَا وَلَمۡ يُتَقَبَّلۡ مِنَ ٱلۡأَخَرِ قَالَ لَأَقۡتُلَنَّكَ‌ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡمُتَّقِينَ. لَٮِٕنۢ بَسَطتَ إِلَىَّ يَدَكَ لِتَقۡتُلَنِى مَآ أَنَا۟ بِبَاسِطٍ۬ يَدِىَ إِلَيۡكَ لِأَقۡتُلَكَ‌ۖ إِنِّىٓ أَخَافُ ٱللَّهَ رَبَّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ.إِنِّىٓ أُرِيدُ أَن تَبُوٓأَ بِإِثۡمِى وَإِثۡمِكَ فَتَكُونَ مِنۡ أَصۡحَـٰبِ ٱلنَّارِ‌ۚ وَذَٲلِكَ جَزَٲٓؤُاْ ٱلظَّـٰلِمِينَ. فَطَوَّعَتۡ لَهُ ۥ نَفۡسُهُ ۥ قَتۡلَ أَخِيهِ فَقَتَلَهُ ۥ فَأَصۡبَحَ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa. (27) Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam. (28) Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli Neraka dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim. (29) Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi. (30)

  • Qabil membunuh saudaranya – dan dengan perbuatan yang amat tercela itu, dia menjadi seorang yang tidak berharga di sisi Allah. Apabila kamu membaca/menyebut namanya, kamu tidak melafaskan, alaihis salam, malahan kamu berkata, kutukan Tuhan di atasnya.
  • Habil (as) sebaliknya, menjadi salah seorang dari mereka yang amat berharga disisi Allah. Apabila kamu membaca/menyebut namanya, kamu digalakkan untuk sertakan dengan doa dan salam. Mereka yang mengikuti perjalanan yang serupa, sama ada seperti Habil (as) atau Qabil, akan mewarisi nasib yang berbeza seperti kedua-dua saudara tersebut.
  • Hari ini, orang duniawi gemar memberikan gelaran-gelaran yang hebat pada diri mereka sendiri, seolah-olah gelaran seperti itu dapat meningkatkan nilai mereka dalam pandangan Allah! Cuba renungkan, adakah kamu menganggap dirimu penting (kerana gelaran duniawi atau kekayaan yang kamu miliki)? Adakah tokoh-tokoh sejarah terkenal (seperti Ayatollah dan Shah Iran) berharga di sisi Allah? Adakah salah seorang dari mereka yang terkenal waktu ini mempunyai nilai di sisi Allah?
  • Ketahuilah – bahawasa nya sanjungan dan sokongan manusia, walau jutaan manusia sekalipun, tidak akan dapat meningkatkan/menambahkan nilai kamu di sisi Allah walau sedikitpun! Pujaan para penyokong serta sanjungan para peminat tidak dapat menambah walau satu zahrah pun kepada nilai diri kamu, di sisi Allah!
  • Jadi, janganlah menilai seseorang itu dari jumlah para penyokong yang dia miliki. Dan jangan berusaha untuk menarik peminat atau penyokong, kerana mereka semua tidak akan dapat menambah nilai kamu sedikitpun disisi Allah.
  • Tapi inilah waktu bagi penguasa-penguasa yang zalim. Setiap manusia yang zalim tidak ada nilai di Hadrat Ilahi. Mereka tidak akan menerima sambutan/penghormatan dari para malaikat2 di akhirat nanti. Ini adalah satu kebenaran, kamu mesti berani berkata benar (tanpa takut menyinggung perasaan sesiapa pun), kerana itu adalah sesuatu yang akan meningkatkan nilai kamu di sisi Allah.
  • Seorang Nabi membawa berita mengenai masa akan datang. Oleh kerana para Sahabat Rasulullah (saw) ingin mengetahui siapa yang akan memerintah selepas Rasulullah (saw), maka Rasulullah (saw) menjelaskan bahawa akan ada empat Khalifah yang benar (Khulafa Rashidin) , diikuti oleh Sultan2 (Ottoman), dan akhirnya, penguasa2 zalim akan menggulingkan Sultan dan Raja2.
  • Lihatlah…hari ini, hampir semua negara telah menghapuskan sistem ber-Raja, negara Inggeris (England) adalah salah satu dari negara yang masih menghormati keluarga diRaja. Maka kamu sekarang ini berada didalam zaman kezaliman, di mana orang2 zalim akan memerintah bumi ini. Balasan Allah, yang berupa musibah dan azab, akan turun ke atas penguasa2 zalim tersebut dan penyokong2 mereka, dan mereka semua akan menghadapi penderitaan di dunia ini, dan di akhirat pula-mereka tidak akan diberi sambutan yang baik.
  • Rasulullah (saw) bersabda, “Akan datang, akan muncul, selepas zaman penguasa2 zalim, seorang lelaki dari keluarga ku (keturunan Ahlul Bait), beliau akan mengisi/memenuhi bumi ini dengan keadilan dan keseimbangan, seperti mana ia telah dipenuhi dengan kegelapan dan penindasan sebelumnya.”
  • Marilah kamu semua berbahagia dengan janji tersebut . Mereka yang senang dengan Tuhan mereka di dunia ini, akan berbahagia di dunia dan juga diakhirat nanti. Demikian pula, orang-orang yang tidak senang dengan Tuhan mereka di dunia ini, tidak akan menikmati kebahagiaan, di dunia ini dan juga di akhirat.

Fatihah

Huraian

  • Maulana berbicara tentang penguasa2 zalim yang wujud hari ini. Bagaimana pula hal ini berkaitan atau bersangkutan dengan kamu semua, padahal kamu bukan penguasa atau ahli politik? Orang yang menzalimi dirinya, adalah orang yang kejam. Dan orang yang kejam, adalah mereka yang mengikuti keinginan nafsu dan egonya, dan menentang perintah2 Tuhannya. Qabil adalah salah seorang yg sedemikian, dia mengikuti nafsunya, dan berlaku kejam terhadap dirinya sendiri. Sayyidina Yunus (as) juga menganiaya dirinya tetapi beliau bertaubat.

لَّآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَـٰنَكَ إِنِّى ڪُنتُ مِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. (21:87)

  • Kita mesti bertaubat dari berterusan dengan gaya hidup yang kejam, dan berusaha untuk menjadi manusia yang berharga di sisi Allah. Jika kita inginkan untuk menjadi manusia berharga di sisi Nya, maka keredhaan Nya dan Perintah Nya mesti di junjung! Ta’atilah Allah, dan lakukan segala2nya, hanya untuk Dia!
  • Maulana memberikan contoh dari seorang saudara yang membunuh saudaranya. Sekali lagi apakah kaitan cerita tersebut dengan kehidupan kita, kerana kita tidak melakukan pembunuhan? Renungkanlah , berapa sering/kerapkah kita menikam saudara atau saudara sesama Islam dengan lidah dan perbuatan kita, dan akhirnya terpaksa memikul segala dosa-dosanya. Tidak kah perbuatan itu serupa seperti apa yang Qabil lakukan?
  • Habil (as) menahan dirinya dari membalas perbuatan saudaranya, dan dengan berbuat demikian, beliau diberi keselamatan disisi Allah. Jadi kita harus menahan diri dari melakukan ‘pembunuhan’ dengan ‘menikam’ sesama saudara dengan perbuatan maupun perkataan, dan jauhkan diri dari ‘memakan daging/bangkai’ mereka dengan mengumpat dan memfitnah.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (49:12)

  • Akhirnya, Maulana berbicara mengenai pentingnya kita semua menjadi manusia yang berbahagia. Kita diharuskan untuk merasa senang/bahagia – senang dan redha dengan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita. Kita harus berhenti dari mengeluh. Orang yang gemar mengeluh seolah2 mengatakan, “Aku tidak redha terhadap apa yang Allah telah takdirkan atas diriku.”
  • Maulana pernah mengatakan bahawa, orang yang sering mengeluh adalah seperti manusia yang berpenyakit kulit. Orang sedemikian akan sentiasa mengeluh. Dia akan mengeluh/mengadu yang kulitnya gatal ketika cuaca panas, atau ketika cuaca sejuk, atau ketika cuaca kering atau bila kulitnya di sentuh …. dengan lain kata, masalahnya adalah dirinya sendiri, tetapi dia selalu merasakan masalah yang dihadapi itu berpunca dari orang-orang dan keadaan di sekelilingnya.
  • Jadi, apabila kita sering mengeluh, sepertinya kita sedang mengumumkan bahawa kita mempunyai masalah dan penyakit! Mereka yang tidak bahagia, yang sentiasa mengadu dan mengeluh, adalah mereka yang tidak senang dengan Tuhan mereka. Jadi bagaimana mereka akan dapat menikmati kebahagiaan di dunia dan di akhirat?
  • Maka sebutlah, “Ya Allah, saya senang dengan apa yang Engkau tetapkan, bukan dengan apa yang saya inginkan!”

Maulana Syaikh Nazim mengajar setiap hari pada jam 1 pagi WIB, sila ke lelaman www.Saltanat.org untuk mengikuti pelajaran beliau. Maulana mengajar dalam Bahasa Inggeris, tetapi alih bahasa di siapkan dalam Bahasa Melayu/Indonesia. Salinan ringkasan terdapat di lelaman Naqshbandi Singapura, www.SufiHub.com.

SUMBER: www.sufihub.com



No comments:

Post a Comment