Friday, August 6, 2010

KISWAH di Berita Harian Sisipan Ratu Jumaat 6 Ogos

Gangguan jin punca histeria
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my
2010/08/06

HATI-HATI, jangan sampai menjadi mangsa pengamal perubatan tradisional yang mengambil kesempatan.

HISTERIA dikaitkan dengan perlakuan, tindakan dan pengeluaran suara individu yang luar daripada biasa. Ia dimulai dengan seorang individu dan boleh berjangkit kepada individu lain dalam sebuah kumpulan seperti dalam asrama, bilik darjah serta kilang.

Walaupun ada mengaitkan individu berkenaan atau mangsa sebagai mengalami tekanan mental, kita tidak seharusnya menafikan wujudkan pengaruh persekitaran luar pemikiran manusia seperti dunia jin dan syaitan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Pusat Rawatan Islam Kiswah, Ustaz Hayat Abdul Rahman, berkata mangsa histeria dikaitkan dengan wanita lantaran ada ‘perkara’ yang tidak dimiliki lelaki, tetapi dipunyai wanita iaitu darah haid.

Beliau berkata, dari segi psikologi ketika datang bulan, emosi wanita menjadi tidak menentu dan merasa lebih lemah akibat darah yang keluar itu, selain pertahanan tubuh menjadi kurang stabil, lemah termasuk perubahan emosi ketika datang bulan.

Kedatangan darah kotor yang menyebabkan seseorang itu tidak boleh membaca ayat suci al-Quran sepanjang tempoh itu menjadikan mereka pilihan makhluk halus untuk merapati mereka.

Histeria juga dilaporkan sering berlaku di kalangan pelajar dan ia mungkin berpunca daripada pengumpulan tekanan kesan kesibukan belajar dan peperiksaan.

Selain itu, katanya, kedudukan sekolah yang menjadi ‘pusat’ makhluk halus berkampung dan apabila koloni mereka terganggu, tidak mustahil ia akan mengamuk boleh mencetus kepada histeria.

“Ia turut dikaitkan dengan aspek kebersihan. Dalam banyak kes ia berlaku di sekolah berasrama yang mana ketika itu remaja tidak begitu tahu bagaimana menguruskan kebersihan diri termasuk membersihkan darah pada pada tuala wanita sebelum dibuang ke dalam tong sampah, bukannya dibuang sesuka hati. Pengalaman saya selama 10 tahun sebagai pengamal perubatan, membuktikannya.

“Histeria banyak terjadi di kalangan remaja perempuan yang berada di sekolah dan paling banyak membabitkan masalah pengurusan kebersihan. Dalam kes saya kendalikan sebelum ini, seorang remaja perempuan dirasuk dan berjangkit dengan puluhan pelajar lain. Ketika berdialog dengan jin itu, ia menyatakan bahawa remaja itu membuang tuala wanitanya ke dalam kolah asrama, dan kolah berkenaan sebenarnya perkampungan jin. Tindakan remaja itu mengundang marah jin berkenaan lalu ‘menyerang’ pelajar itu,” katanya mengulas mengenai kejadian histeria yang dilaporkan kerap berlaku di kalangan wanita.

Dari sudut amalan perubatan tradisional, histeria dikaitkan dengan sejenis ‘jin yang suka berpindah-randah’. Rasukan boleh berlaku apabila jin memasuki 32 rongga tubuh dan apabila berjaya dilakukan, maka ia akan mulai menguasai manusia dan sebanyak 60 peratus rasukan, duduknya di kepala dan ia diterjemahkan dengan jeritan dan tindak balas.

Apabila seseorang itu kerasukan akibat jin berkenaan, ia boleh menjangkiti pelajar lain, tetapi dilakukan oleh pelbagai jenis jin lain, apatah lagi sekiranya orang berhampiran itu lemah semangat dan mungkin juga berhadapan tekanan sama dengan individu yang mula-mula dirasuk.

Tidak menafikan ia banyak membabitkan pelajar Melayu Islam dan pelajar sekolah agama serta tahfiz, Hayat berkata, ia berlaku bukan kerana pelajar berkenaan dalam kategori ‘nakal’, sebaliknya makhluk halus sememangnya gemar mengganggu golongan yang ingin hampir kepada Allah.

“Manusia ini unik, ada jenis yang dilahirkan jenis yang disukai jin serta lemah semangat. Bila orang pertama merasuk, jin lain akan kacau orang lain, kerana rasukan terhadap orang yang mula-mula terkena histeria itu adalah provokasi terhadap jin lain untuk mengeluarkan diri masing-masing.

“Ada juga yang mengaitkan orang yang mempunyai saka sebagai sasaran histeria. Ini ada juga kebenarannya memandangkan saka bagaikan biji benih yang boleh membesar dan ia keluar dalam bentuk rasukan,” katanya.

Mengenai keadaan histeria, katanya, ia berlaku dalam beberapa cara termasuk ada mangsa yang tidak sedar sehingga tiga jam, tetapi sedar dalam keadaan keletihan kerana dalam keadaan tidak sedar itu jin berkenaan mengawal dirinya.

Ada juga keadaan individu sedar dan membuka mata, tetapi pergerakan dan perbuatannya di kawal makhluk berkenaan. Selalunya mangsa mengeluarkan suara yang berbeza daripada biasa dan mempunyai kuasa yang kuat dan lain daripada orang normal. Tidak kecuali ada segelintir yang ‘buat-buat’ dengan alasan untuk mendapat perhatian ibu bapa.

Mengulas mengenai rawatan, katanya, ia bergantung kepada sekolah atau organisasi, tetapi perawatan yang dilakukan pengamal perubatan Islam tidak boleh dicampuradukkan dengan rawatan dilakukan bomoh.

“Bomoh selalunya akan menggunakan ‘tangkapan’ seperti memasukkan jin ke dalam tin dan sebagainya yang mana ia berbeza dengan amalan perubatan Islam. Cara perubatan Islam adalah dalam bentuk kitab rawatan menggunakan ayat suci al-Quran, doa, khutbah serta azan. Cara ini membantu menghalau makhluk ini daripada mengganggu manusia.

“Begitupun suka saya memberikan nasihat supaya berwaspada dengan kewujudan pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan rawatan tradisional sebagai topeng sedangkan ada yang menyeleweng hingga melakukan jenayah rogol, pencabulan dan sebagainya. Ada perawat hingga meminta untuk tidur bersama mangsa hingga berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Menangani histeria, katanya sekolah atau organisasi perlulah mengambil beberapa tindakan termasuk menjauhi unsur kelalaian seperti hiburan atau konsert nyanyian terlampau sehingga meninggalkan solat, percampuran lelaki dengan wanita tanpa batasan serta tingkatkan kebersihan.

“Individu yang terkena histeria boleh berulang tetapi tingkatkan ibadat untuk mengelakkan ia daripada terus berlaku,” katanya yang boleh dihubungi di 017-9065131 atau layari laman http://www.rukyahsyariah.com

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gangguanjinpuncahisteria/Article

No comments:

Post a Comment